USM lancar makmal penyelidikan semikonduktor termaju, perkukuh kepimpinan global Malaysia

Makmal baharu itu menyediakan persekitaran reka bentuk yang selamat, dilengkapi dengan infrastruktur EDA bertaraf tinggi, pelayan berprestasi optimum dan aliran reka bentuk IC yang disesuaikan dengan teknologi 18A. - Gambar fail/gstmalaysiainfo
GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat pencapaian bersejarah menerusi pelancaran Makmal Penyelidikan Semikonduktor Termaju berasaskan Intel 18A Process Design Kit (PDK) selain pemeteraian kerjasama semikonduktor universiti itu dengan Purdue University.
Ringkasan AI
- USM lancar Makmal Penyelidikan Semikonduktor Termaju berasaskan Intel 18A PDK, mengukuh kedudukan Malaysia dalam industri semikonduktor serta kecerdasan buatan.
- USM menjadi universiti pertama di luar Amerika Syarikat yang akses Intel 18A PDK, membolehkan pembangunan IC berketumpatan tinggi untuk aplikasi AI serta latihan jurutera reka bentuk cip.
- Kerjasama USM dengan Purdue University meluaskan bidang kerjasama dalam pengajaran, pensijilan profesional, penyelidikan, dan pembangunan bakat, meningkatkan daya saing teknologi negara dalam bidang semikonduktor.
"Menerusi kerjasama strategik ini, USM melalui Pusat Kecemerlangan Reka Bentuk Mikroelektronik (CEDEC) menjadi universiti pertama di luar Amerika Syarikat yang diberi akses kepada Intel 18A PDK, salah satu teknologi logam semikonduktor logam-oksida (CMOS) paling termaju dunia.
"Teknologi itu membolehkan pembangunan IC berketumpatan tinggi, berkuasa rendah dan dioptimumkan untuk aplikasi AI, sekali gus membolehkan USM melatih jurutera reka bentuk cip menggunakan teknologi setaraf industri global," katanya.
Makmal baharu itu menyediakan persekitaran reka bentuk yang selamat, dilengkapi dengan infrastruktur EDA bertaraf tinggi, pelayan berprestasi optimum dan aliran reka bentuk IC yang disesuaikan dengan teknologi 18A.
Dibangunkan bersama pasukan reka bentuk Intel, fasiliti itu berfungsi sebagai hab nasional untuk reka bentuk IC nod (rangkaian) maju (18A), penyelidikan seni bina cip berasaskan AI, projek pelbagai disiplin termasuk integrasi 2.5D/3D dan pembungkusan termaju dan pembangunan kepakaran semikonduktor untuk industri tempatan dan global.
Makmal itu ini memacu peranan USM dalam menyokong Strategi Semikonduktor Nasional, khususnya dalam aktiviti reka bentuk bernilai tinggi.
Intel Foundry turut menamakan USM sebagai "Focus University for Design Enablement Workforce Development" (Universiti Tumpuan Bagi Pembangunan Tenaga Kerja Pengupayaan Reka Bentuk) dan mengiktiraf kepimpinan universiti itu yang makin menonjol dalam pendidikan serta penyelidikan reka bentuk nod maju.
Selain itu, pemeteraian MoU USM dan Purdue University -- institusi kejuruteraan terkemuka dunia pula bagi memperluas kerjasama dalam pengajaran, pensijilan profesional, penyelidikan dan pembangunan bakat.
Sementara itu, Abdul Rahman menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah penting ke arah menjadikan Malaysia hab global bagi inovasi semikonduktor bernilai tinggi selain menonjolkan pencapaian USM.
"Ini sekali gus menunjukkan kemampuan Malaysia ke arah pembangunan reka bentuk IC nod maju dan penyelidikan semikonduktor bertaraf dunia. Kerjasama dengan Intel dan Purdue menyediakan asas kukuh bagi pembangunan bakat dan peningkatan daya saing teknologi negara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


