GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) secara rasminya melancarkan penjualan nombor pendaftaran khas USM 1 hingga USM 9999 pada Jumaat.

Menerusi kenyataannya, USM berbesar hati mengekalkan kombinasi huruf USM bagi mewakili Universiti Sains Malaysia dalam pemilihan plat khas universiti tersebut.

"Pihak universiti meminta seluruh warga dan alumni USM untuk memberi semangat dan sokongan padu dengan membida nombor USM1 hingga USM9999 yang bermula Jumaat sehingga 29 Jun ini.

"Bidaan boleh dibuat dengan memuat turut aplikasi carplates.my di Google Store bagi pengguna Android dan Apple Store bagi pengguna iPhone," katanya pada Jumaat.

Katanya lagi, pembida boleh memulakan bidaan serendah RM250 bagi empat digit nombor pendaftaran, bergantung kepada nilai yang ditetapkan di dalam sistem bidaan.

Tambahnya, dana yang diperolehi hasil dari penjualan nombor plat ini akan disalurkan bagi membantu USM menyokong mempertingkatkan lagi kerja-kerja penyelidikan yang sedang giat dijalankan.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian