Skip to main content

Sukan

Dua ledakan Mujagic bantu Kuching City kuasai 'Borneo Derby' di Likas

KOTA KINABALU, 5 Sept - Pemain Sabah FC Mohammad Fayadh Amin (kiri) cuba melepasi dua pemain pertahanan Kuching City FC pada saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain Sabah FC Mohammad Fayadh Amin (kiri) cuba melepasi dua pemain pertahanan Kuching City FC pada saingan Liga Super di Stadium Likas. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Naib juara Liga Super musim lepas, Kuching City FC mengukuhkan reputasi sebagai antara pasukan terbaik Borneo selepas menewaskan jiran, Sabah FC 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu dalam saingan Liga Super 2026/2027 malam tadi.

Penyerang Bosnia dan Herzegovina, Ajdin Mujagic muncul wira The Cats apabila dua ledakannya pada separuh masa pertama sudah memadai untuk membantu skuad kendalian Aidil Sharin Sahak membawa pulang tiga mata berharga dari gelanggang lawan.

Kuching City hanya memerlukan lima minit untuk membuka tirai jaringan selepas hantaran ke belakang tonggak tengah Sabah, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, berjaya dihidu Mujagic yang kemudian melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Juan Flere.

Mujagic terus menjadi duri dalam daging buat Sang Badak kendalian Juan Torres Garrido apabila sekali lagi menghukum kealpaan benteng tuan rumah pada minit ke-21.

Kali ini, percubaan R. Dinesh menanduk bola ke belakang tidak menjadi, sekali gus membuka ruang buat Mujagic merampas bola sebelum meledak rembatan deras dari luar kotak penalti untuk gol kedua peribadinya.

Memasuki babak kedua, Sabah meningkatkan asakan untuk merapatkan jurang, namun percubaan Darren Lok pada minit ke-53 berjaya ditepis penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli.

Empat minit kemudian, Mujagic hampir melengkapkan hatrik, namun tandukannya tepat ke dakapan Flere.

Penyerang berusia 28 tahun itu sekali lagi terlepas peluang mencipta hatrik pada minit ke-71 apabila percubaannya sekadar singgah di palang meskipun berdepan pintu gol yang terbuka luas selepas menerima hantaran leret Muhammad Ramadhan Saifullah Usman.

Sabah terus menggandakan tekanan ke kubu pelawat dalam usaha sekurang-kurangnya mendapatkan gol sagu hati, namun benteng Kuching City kekal ampuh untuk mempertahankan kelebihan dua gol sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan Kuching City kekal di tangga kedua dengan sembilan mata, tiga mata di belakang pendahulu yang juga juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Sabah menghuni kedudukan keempat dengan enam mata.

Sementara itu, Terengganu FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Penyerang tuan rumah Gervane Kastaneer hampir menceriakan lebih 2,000 penyokong pada minit kesembilan, namun jaringannya dibatalkan pengadil kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Sang Penyu kemudian mensia-siakan deretan peluang untuk memecah kebuntuan pada babak kedua, sekali gus terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Harimau Kumbang sehingga wisel penamat.

Selepas tiga perlawanan, Terengganu menghuni kedudukan ketujuh dengan empat mata, manakala Penang yang meraih mata pertama musim ini berada di tempat ke-10.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement