Skip to main content

Sukan

EPL: Gol ke-300 Haaland bawa Man City kekal sempurna selepas singkir Coventry

Soccer Football - Premier League - Manchester City v Coventry City - Etihad Stadium, Manchester, Britain - September 5, 2026 Manchester City's Erling Haaland celebrates scoring their first goal REUTERS/Phil Noble EDITORIAL USE ONLY. NO USE WITH UNAUTHORIZED AUDIO, VIDEO, DATA, FIXTURE LISTS, CLUB/LEAGUE LOGOS OR 'LIVE' SERVICES. ONLINE IN-MATCH USE LIMITED TO 120 IMAGES, NO VIDEO EMULATION. NO USE IN BETTING, GAMES OR SINGLE CLUB/LEAGUE/PLAYER PUBLICATIONS. PLEASE CONTACT YOUR ACCOUNT REPRESENTATIVE FOR FUR
Kemenangan itu meletakkan City di tangga teratas liga dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan. - Foto REUTERS
Advertisement

LONDON: Manchester City meneruskan permulaan sempurna mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan pasukan baharu, Coventry City, 1-0 di Stadium Etihad pada Sabtu.

Skuad kendalian Enzo Maresca itu mengutip tiga mata hasil jaringan tunggal Erling Haaland, namun, terpaksa bekerja keras bagi menundukkan Coventry yang mempamerkan persembahan berani meskipun masih memburu mata pertama musim ini.

Haaland sekali lagi muncul wira City apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-26 menerusi tandukan hasil hantaran lintang Antoine Semenyo. 

Gerakan itu bermula daripada pemain baharu City, Enzo Fernandez yang membuat penampilan sulung dan memainkan peranan penting dalam pembinaan serangan.

Jaringan tersebut bukan sahaja memastikan kemenangan City, malah menjadi gol ke-300 Haaland dalam semua pertandingan sepanjang kariernya di liga utama.

Maresca turut memberikan penampilan pertama kepada Fernandez serta penyerang Iliman Ndiaye, selain menurunkan Elliott Anderson yang menyertai kelab itu menerusi perpindahan bernilai besar pada jendela perpindahan musim panas.

Walaupun City menguasai permainan dengan 803 hantaran berbanding hanya 217 oleh Coventry, pasukan pelawat yang dibimbing Frank Lampard hampir mencuri jaringan penyamaan pada penghujung perlawanan.

Penjaga gol Gianluigi Donnarumma terpaksa melakukan beberapa aksi menyelamat penting bagi memastikan gawang City tidak dibolosi.

"Babak pertama kami boleh menjaringkan satu atau dua gol lagi, tetapi pasukan bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan dan itu yang paling penting.

"Bukan semua kemenangan akan hadir melalui aksi yang cantik. Kadangkala anda juga perlu melalui saat-saat sukar," kata Maresca.

Kemenangan itu meletakkan City di tangga teratas liga dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan. 

Arsenal dan Chelsea yang turut mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dijadual bertemu di Stadium Emirates pada Ahad.

Dalam satu lagi aksi, Crystal Palace meraih kemenangan pertama musim ini selepas bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum menewaskan Fulham 3-2 di Craven Cottage.

Josh King meletakkan Fulham di hadapan seawal minit ke-11 sebelum Tyrick Mitchell menyamakan kedudukan buat Palace. 

Cesar Palacios kemudian memulihkan kelebihan tuan rumah, namun Mitchell sekali lagi menyamakan kedudukan bagi pasukan kendalian Pierre Sage.

Bek kiri England, Ben Chilwell, yang menyertai Palace secara percuma, akhirnya muncul penentu kemenangan apabila menyempurnakan peluang pada minit ke-77.

"Ia keputusan yang positif, tetapi kami perlu jujur bahawa permulaan musim ini masih belum mencapai tahap yang diharapkan. Namun mentaliti pemain pada separuh masa kedua jauh lebih baik," kata Sage.

Di St James' Park, Newcastle United bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Bournemouth 2-2.

Bournemouth mendahului menerusi Marcus Tavernier sebelum gol sendiri Malick Thiaw menjadikan kedudukan 2-0 selepas 35 minit permainan. 

Namun, Harvey Barnes merapatkan jurang sebelum rehat dan Jacob Ramsey menyelamatkan satu mata buat Newcastle menerusi jaringan lewat permainan.

Keputusan itu menyaksikan Bournemouth mencipta rekod unik EPL sebagai kelab pertama yang menjaringkan gol terlebih dahulu dalam tiga perlawanan pembukaan musim tetapi gagal memenangi kesemuanya.

Sementara itu, Tottenham Hotspur meraih mata pertama musim ini selepas seri tanpa jaringan menentang Nottingham Forest di City Ground.

Forest hampir mencipta kemenangan menerusi jaringan Neco Williams pada babak kedua, namun gol tersebut dibatalkan selepas semakan VAR mendapati berlaku sentuhan tangan ketika proses jaringan.

Dalam perlawanan lain, Brighton & Hove Albion seri 1-1 dengan Leeds United, Brentford turut terikat 1-1 dengan Sunderland, manakala Hull City mengikat Aston Villa tanpa jaringan.

Hull yang baru kembali ke EPL kehilangan mata pertama musim ini tetapi masih mengekalkan rekod tanpa bolos selepas tiga perlawanan. 

Sebaliknya, Aston Villa terus bergelut apabila masih gagal mencetak gol dan hanya mengumpul satu mata setakat ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement