Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menasihatkan pengguna di negara ini agar membeli barangan buatan Malaysia dan tidak hanya membeli produk daripada pihak tertentu.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, amalan mengutamakan pembelian produk buatan Malaysia akan memberi kebaikan kepada negara.

Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang melancarkan kempen mengutamakan produk Muslim mempunyai maksud yang sama dengan memboikot produk bukan Bumiputera.

Langkah itu, katanya, jelas akan menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.

"Ia bermula sebagai boikot, kemudian apabila disanggah dan diberikan jawapan dan rasional kenapa tak perlu ada boikot, maka skripnya itu diubah kepada sebenarnya Buy Muslim First," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada majlis pelancaran Rumah Ilmu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar dan pelepasan Konvoi Merdeka di Rumah Ilmu ADUN Telok Ayer Tawar, di sini, hari ini.

Jelasnya, sebagai negara berbilang kaum, keutamaan adalah untuk memperolehi kehidupan yang harmoni dan memakmurkan negara, dan bagi mencapai matlamat ini, ia memerlukan dokongan semua pihak.

"Dalam konteks negara kita, yang patut kita dahulukan adalah kempen beli barangan buatan Malaysia. Macam saya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, bahagian borong, bahagian pengedaran, bahagian runcit, semua itu di bawah selian saya.

"Misalnya, dalam sektor pasaraya besar yang membawa jenama antarabangsa, kita ada polisi di mana 30 peratus mesti barangan buatan Malaysia, mesti ditempatkan di rak-rak perniagaan mereka. Ini polisi.

"Kalau sesebuah pasaraya asing yang diberi lesen beroperasi di negara kita, yang pertama, setelah satu tempoh beroperasi, dia mesti mendapatkan rakan tempatan. Itu yang pertama," kata Saifuddin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melancarkan kempen mengutamakan pembelian produk buatan Muslim.

Malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata tindakan memboikot barangan bukan Bumiputera tidak sepatutnya berlaku kerana ia tidak memberi kesan sebaliknya hanya menimbulkan kemarahan.