SUDAH sampai masanya pihak kerajaan mengambil satu pendekatan yang baru dan lebih realistik dalam memberi atau menyalurkan peruntukan kewangan kepada semua institusi pengajian tinggi (IPT) atau universiti yang ada dalam negara kita melalui peruntukan Bajet 2020 yang bakal dibentangkan pada hujung tahun ini.

Buat sekian lama, peruntukan kewangan banyak disalurkan kepada universiti-universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang sudah lama bertapak dalam negara kita, yang mempunyai dana kewangan yang besar serta yang mempunyai ranking atau mencapai tahap prestasi yang baik dalam senarai universiti atau IPT terbaik sama ada di peringkat serantau ataupun di peringkat antarabangsa.

Pihak kerajaan baru di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang telah memenangi proses pilihan raya umum yang pada tahun yang lalu perlu mengambil satu pendekatan baru dan berlainan dalam soal penagihan peruntukkan kewangan yang disalurkan kepada semua universiti dan IPT yang ada dalam negara kita dengan menyalurkan lebih banyak peruntukan kewangan kepada universiti-universiti yang baru bertapak serta yang tidak memiliki ranking atau yang belum mencapai prestasi yang baik dalam senarai universiti terbaik di peringkat serantau ataupun di peringkat antarabangsa.

Kebanyakan universiti-universiti dan IPT yang tidak memiliki ranking atau yang belum mencapai prestasi yang baik ini bukan kerana mereka adalah sebuah institusi pengajian yang tidak baik tetapi kebanyakan daripada mereka adalah universiti atau IPT yang baru bertapak dalam negara kita.

Sebagai sebuah universiti yang baru bertapak, sudah pasti mereka tidak memiliki peruntukan dana yang mencukupi bagi menampung proses kajian dan penyelidikan (R&D) yang merupakan syarat penting untuk menjadi sebuah universiti terbaik di peringkat serantau atau antarabangsa.

Sebagai sebuah universiti yang baru bertapak, universiti-universiti ini juga tidak memiliki segala kemudahan asas atau logistik untuk proses pengajaran dan pembelajaran sama berbanding dengan universiti-universiti dan IPT yang sudah bertahun-tahun lama wujud dalam negara kita.

BACA: Empat Universiti Awam Malaysia antara terbaik dunia

Sebagai sebuah universiti yang baru bertapak ini juga, mereka tidak memiliki bilangan tenaga pakar atau profesor yang mencukupi bagi membantu universiti dan IPT mereka mengumpul dana kewangan sendiri dengan banyak. Ini amat berbeza dengan universiti-universiti yang sudah lama wujud dalam negara kita.

Universiti–universiti dan IPT yang sudah lama wujud ini mempunyai dana yang cukup untuk menampung segala proses kajian dan penyelidikan (R&D) yang mereka ingin jalankan. Universiti dan IPT yang sudah lama bertapak ini juga selalunya sudah memiliki segala kemudahan logistik yang dapat membantu mereka melakukan proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik.

Universiti dan IPT yang sudah lama bertapak ini juga sudah memiliki banyak tenaga pakar yang ramai bertaraf profesor yang dapat membantu universiti mereka memperolehi dana yang banyak bagi menampung segala proses perbelanjaan universiti mereka sendiri.

Oleh yang demikian, adalah ingin dicadangkan supaya peruntukan Bajet 2020 yang bakal dibentangkan kelak dapat mengutamakan universiti-universiti dan IPT yang baru bertapak serta yang tidak memiliki ranking atau yang belum mencapai prestasi yang baik dalam senarai universiti terbaik di peringkat serantau ataupun di peringkat antarabangsa.

Itu perlu dilakukan supaya universiti-universiti dan IPT yang baru bertapak ini dapat berkembang dengan baik serta mencapai satu status, ranking atau prestasi yang boleh dibanggakan sama seperti universiti-universiti dan IPT yang sudah lama bertapak dalam negara kita demi menjamin kualiti masa depan sistem pendidikan tinggi negara kita serta bagi mewujudkan persaingan yang lebih sihat dan adil dikalangan semua universiti dan IPT yang ada dalam negara kita.



* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.