MALAYSIA
UTM tersenarai 10 peratus universiti terbaik dunia

Di peringkat nasional, UTM terus konsisten sebagai satu daripada lima universiti penyelidikan utama negara dengan mencatat kecemerlangan dalam pelbagai indikator teras yang sejajar dengan aspirasi negara dan piawaian global. --fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini berada di kedudukan 153 dunia bagi penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2026, sekali gus meletakkan mereka dalam kelompok 10 peratus teratas universiti terbaik dunia dan ketiga terbaik di Malaysia.
Ringkasan AI
- Kedudukan UTM Meningkat Secara Global - UTM kini berada di tangga ke-153 dunia dalam QS World University Rankings 2026, naik 28 anak tangga berbanding tahun lalu dan berada dalam 10% teratas universiti terbaik dunia.
- Peningkatan dalam Indikator Utama - Peningkatan besar dicapai dalam bidang jaringan penyelidikan antarabangsa, sitasi per staf akademik, nisbah pensyarah-pelajar, serta reputasi akademik membuktikan kekuatan UTM sebagai universiti penyelidikan global.
- Komitmen kepada Inovasi dan Masyarakat - UTM komited terhadap penyelidikan berimpak tinggi, pendidikan inklusif dan penglibatan antarabangsa, dengan misi menjadikan ilmu bermanfaat untuk masyarakat melalui prinsip "Menginovasi Penyelesaian Lestari".
Sementara itu, indikator Reputasi Akademik pula meningkat lapan anak tangga, merupakan penyumbang utama penarafan ini sebanyak 31.1 peratus dan mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap institusi ini yang semakin meningkat.
Peningkatan 28 anak tangga bagi indikator Nisbah Pensyarah-Pelajar pula membuktikan komitmen universiti dalam memberikan yang terbaik dalam konteks kualiti pengajaran dan sokongan akademik.
"Pencapaian dalam elemen ini diperkukuh lagi dengan kejayaan UTM menempatkan diri di tangga ke-132 dunia bagi Kepelbagaian Pelajar Antarabangsa menerusi kelompok pelajar dari 85 buah negara," menurut kenyataan itu.
Penarafan QS WUR 2026 melibatkan lebih 8,467 institusi di seluruh dunia, dengan hanya 1,501 universiti tersenarai berdasarkan penilaian ketat merangkumi pelbagai indikator seperti pengajaran, impak penyelidikan, reputasi akademik, keterlibatan majikan, pengantarabangsaan dan kelestarian.
Dalam pada itu di peringkat nasional, UTM terus konsisten sebagai satu daripada lima universiti penyelidikan utama negara dengan mencatat kecemerlangan dalam pelbagai indikator teras yang sejajar dengan aspirasi negara dan piawaian global.
Sementara itu, Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim dalam kenyataan sama berkata pencapaian ini memperkukuh hala tuju UTM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang berasaskan inovasi, dengan kekuatan dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.
"Namun, apa yang lebih penting, UTM sentiasa berpegang pada misi untuk memanusiakan dan mendemokrasikan ilmu, di samping memastikan inovasi yang dihasilkan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.
Mohd Shafry berkata peningkatan UTM dalam penarafan global ini mencerminkan strategi berfokus yang dapat menghubungkan ketelitian akademik dengan impak kepada masyarakat.
Beliau berkata seiring dengan perkembangan penarafan global yang kini merangkumi indikator yang lebih luas seperti kelestarian dan kepelbagaian, UTM terus mempertingkat komitmennya terhadap penyelidikan berimpak tinggi, pendidikan yang inklusif serta penglibatan aktif di peringkat antarabangsa.
"Sebagai institusi yang berteraskan nilai, UTM menjadikan prinsip 'Menginovasi Penyelesaian Lestari' sebagai panduan utama, selaras dengan moto 'Kerana Tuhan untuk Manusia'," katanya.
UTM turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja, pelajar, alumni serta rakan kerjasama antarabangsa atas sumbangan berterusan dalam mengangkat nama UTM ke persada dunia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami