Universiti Utara Malaysia (UUM) memperoleh akreditasi daripada AACSB International, badan akreditasi global paling lama mewakili kolej-kolej perniagaan yang menawarkan ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang perniagaan dan perakaunan.

"Memperoleh akreditasi AACSB, yang memerlukan kami memberikan khidmat terbaik, adalah langkah permulaan untuk mengekalkan standard tinggi dalam pendidikan perniagaan.

"Ia ialah satu komitmen tinggi untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai perkara. Pengiktirafan oleh AACSB International ini cukup berharga dan memberikan peluang yang luas kepada UUM untuk melebarkan sayapnya," kata Naib Canselor UUM Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak dalam satu kenyataan.

Antara proses untuk mencapai akreditasi ini termasuk proses kaji semula dalaman yang ketat, dan penglibatan mentor yang diluluskan pihak AACSB.

Dalam proses itu, pihak kolej memberi tumpuan kepada pembangunan dan melaksanakan rancangan yang selaras dengan piawaian Akreditasi AACSB.

Akreditasi AACSB ialah penanda aras kecemerlangan dalam pendidikan perniagaan, dan telah diraih oleh kurang lima peratus daripada program perniagaan di dunia.

Ketika ini terdapat 777 sekolah perniagaan di 52 buah negara dan wilayah yang mengekalkan Akreditasi AACSB.