Kementerian Kesihatan memberi jaminan bahawa vaksin penyakit anjing gila adalah mencukupi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata orang ramai tidak perlu bimbang dan panik kerana sehingga kini masih tiada kes individu disahkan positif dijangkiti virus berkenaan.

Menurut beliau, bagi memastikan orang ramai bebas daripada wabak berkenaan, setiap hospital di negeri terbabit dibekalkan sejenis serum iaitu 'immunoglobulin' yang akan memberi mangsa antibodi untuk melawan virus anjing gila.

"Vaksin telah kita beri pada setiap hospital di Pulau Pinang, semua dapat vaksin. Bekalan vaksin dalam keadaan mencukupi, jadi jangan bimbang. Kita memang terus memantau keadaan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan lembu korban di Parlimen Balik Pulau, di sini hari ini.

Jelasnya, vaksin yang disediakan pihak Kementerian itu adalah vaksin untuk manusia, berbeza dengan vaksin anti-rabies yang dikhususkan untuk anjing.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan menyediakan suntikan vaksin secara percuma kepada haiwan peliharaan khususnya anjing di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dalam usaha mengekang penyebaran wabak anjing gila.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Veterinar) Dr Kamarudin Md Isa, tumpuan akan diberikan kepada Pulau Pinang yang mencatatkan kes tertinggi.

Dr Kamarudin juga memberi jaminan bahawa stok vaksin anti-rabies bagi haiwan peliharaan adalah mencukupi.

"Stok sememangnya mencukupi kerana di negeri lain ada stok vaksin. Kita tidak menjalankan suntikan antirabies di negeri lain yang bukan di dalam negeri 'imun belt'. Jadi secara keseluruhan dalam negara stok masih ada. Kalau tidak cukup kita akan bawa stok negeri lain ke Pulau Pinang" katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Dalam pada itu, beliau berkata tindakan untuk melupuskan anjing liar juga dilakukan bagi mengelakkan virus anjing gila merebak ke haiwan lain.

"Anjing-anjing yang dijangkiti ini menjadi risiko kepada orang awam. Dalam perundangan apa sahaja yang boleh mendatangkan risiko orang awam harus ditangani. Jadi anjing yang dijangkiti kami akan menangkap dan melupuskannya (melalui suntikan). Kalau tidak, sampai masa pun dia akan mati juga." katanya.

Sementara itu, situasi rabies di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang masih dalam keadaan terkawal, dengan usaha mengawal penyakit itu sedang giat dilakukan.

Beliau turut menasihatkan pemilik anjing untuk sentiasa memastikan anjing peliharaan mereka berada di rumah.