KUALA LUMPUR: Sebanyak 67,978,370 dos suntikan dos telah diberikan kepada rakyat Malaysia sejak 2021 hingga Mac 2022.

Sehingga tempoh tersebut, sebanyak 25,746 laporan telah diterima oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berkaitan dengan kesan sampingan vaksin yang diberikan.

Pengarahnya Dr Roshayati Mohamad Sani, memaklumkan ia meliputi 379 laporan bagi setiap 1 juta dos vaksin yang diberikan.

“1,411 laporan adalah melibatkan penerima daripada dos penggalak dan 182 laporan bagi penerima vaksin kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

"Hasil penilaian ke atas laporan yang diterima, sebanyak 93 peratus atau 23, 957 kes adalah tidak serius seperti demam, sakit kepada, sakit pada tempat suntikan, sakit otot dan keletihan adalah kesan yang paling kerap dilaporkan,” jelasnya pada sesi Taklimat Bersama Media berhubung Laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) Vaksin COVID-19 Siri 3/2022.

Kesan-kesan yang direkodkan itu setakat ini katanya akan pulih dan biasanya memakan masa satu atau dua hari sahaja.

Sementara itu katanya, 789 laporan yang dikategorikan sebagai kesan sampingan serius telah diterima setakat ini.

“Ia merujuk kepada kesan yang menyebabkan kemasukkan ke wad, atau pemanjangan tempoh di wad, membahayakan nyawa, boleh menyebabkan kehilangan upaya dan signifikan atau disyaki menyebabkan kematian,” jelasnya lagi.

Semua laporan yang dikategorikan sebagai kesan sampingan serius tersebut katanya memerlukan siasatan dan penilaian terperinci sebelum keputusan terhadap kes tersebut dapat dirumuskan.

Daripada jumlah tersebut jelasnya, terdapat 607 laporan melibatkan kematian membabitkan penerima vaksin COVID-19 setakat ini.

“Daripada jumlah tersebut, 451 laporan telah selesai penyiasatan dan penilaian oleh Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin COVID-19 (JFK).

"Setakat ini tiada kes kematian yang dilaporkan mempunyai hubungkait secara langsung menerusi vaksin yang diterima. Sebanyak 156 laporan masih dalam proses penyiasatan sebelum dinilai oleh JFK,” jelasnya .

Sementara itu jelasnya lagi, terdapat enam kes serius membabitkan kanak-kanak yang diterima setakat ini iaitu mereka dalam kalangan usia 5 hingga 11 tahun.

“Terdapat lima kes yang dimasukan ke wad untuk rawatan dan pemantauan lanjut di mana kesemua pesakit tersebut telahpun keluar dan dua kes telah sembuh sepenuhnya dan tiga lagi dalam proses pemulihan.

“Terdapat satu kes 'brought-in-dead' (BID) dan siasatan lanjut masih diperlukan di mana pesakit ini mempunyai sejarah penyakit sedia ada. Jadi, laporan lengkap kami masih belum terima dan kita akan maklumkan apa-apa sebaik menerimanya,” katanya.