Beberapa syarikat farmaseutikal luar negara telah menyatakan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi pembotolan vaksin COVID-19, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, Khairy berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) masih melakukan penilaian data hasil ujian klinikal yang dijalankan beberapa syarikat dan institusi di luar negara.

"Ada beberapa syarikat yang telah menyatakan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi untuk peringkat fill and finish.

“Bagaimanapun, KKM dalam peringkat melihat dan menganalisis data daripada ujian klinikal yang telah dijalankan beberapa syarikat dan institusi daripada luar negara.

“Apabila sudah puas hati dengan keselamatan dan keberkesanan vaksin syarikat-syarikat tersebut, maka kita akan membuat pembelian vaksin,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Geran Padanan Impak Sosial di Pusat Sains Negara, Bukit Damansara pada Jumaat.

BACA: Diplomasi vaksin COVID-19: Negara lain sudah tempah dan beli, bila giliran Malaysia?




Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) Dzuleira Abu Bakar; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Tambah Khairy, beliau sedang bekerjasama rapat dengan beberapa negara untuk mendapatkan maklumat yang terperinci mengenai vaksin yang dibangunkan negara-negara tersebut.

“Kalau kita membuat pembelian secara pukal, maka kita mempunyai pilihan untuk melaksanakan proses ‘fill and finish’ di Malaysia.

“Tetapi kita belum membuat apa-apa keputusan lagi kerana belum tahu vaksin mana yang akan kami perolehi,” tambahnya.

Pada Julai lalu, Khairy berkata Malaysia bersedia untuk membuat pembotolan vaksin COVID-19 sebaik sahaja vaksin itu ditemui.

Katanya, bagi tujuan itu, dua buah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), iaitu Duopharma Berhad dan Pharmaniaga Berhad telah menyatakan persetujuan untuk kilang mereka digunakan untuk proses ‘fill and finish’ vaksin berkenaan.