TAWAU: Seramai 1,200 petugas barisan hadapan dari pelbagai agensi kerajaan menerima suntikan vaksin COVID-19 fasa pertama bermula hari ini di Klinik Kesihatan Jenis 2, Jalan Chong Thien Vun di sini.

Kumpulan pertama berkenaan merupakan mereka yang banyak berurusan dengan orang ramai dalam tugasan harian dan berisiko tinggi dijangkiti wabak berkenaan.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Arnold Joibi berkata setiap penduduk di daerah ini harus mendaftar segera melalui aplikasi MySejahtera atau langsung ke klinik kesihatan untuk menerima vaksin tersebut.

"Pada hari ini permulaan penerimaan vaksin bagi daerah Tawau. Jadi, saya harap masyarakat di daerah Tawau akan tampil ke hadapan untuk mendaftar dalam MySejahtera.

"Atau, kalau tidak daftar dengan MySejahtera, mereka boleh mendaftar di klinik kesihatan yang terdekat," katanya.

Sebelum pelaksanaan program suntikan vaksin bagi fasa pertama, seramai 360 petugas kesihatan yang bertanggungjawab melaksanakan program vaksinasi itu terlebih dahulu diberikan vaksin.

Ia bagi memastikan mereka bebas dari virus tersebut sebelum melakukan suntikan pada penerima seterusnya.

Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Tawau, Dr G Navindran berkata, penduduk tidak perlu risau untuk menerima vaksin kerana ia selamat dan mereka tidak akan merasa sakit ketika disuntik.

Program suntikan vaksin tersebut didahului dengan Arnold, diikuti Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbus dan disusuli Navindran.

Sementara itu, penerima vaksin yang ditemui berkongsi perasaan gembira menerima suntikan dan bersyukur dengan adanya vaksin yang diharap dapat melindungi diri mereka ketika menjalankan tugas.

Bagi tujuan pemberian vaksin di sekitar daerah ini, Pejabat Kesihatan Tawau menetapkan sembilan pusat suntikan iaitu Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kalabakan, Dewan Orang Ramai Felda Umas, Dewan Kampung Mentadak Pulau Sebatik, Dewan Masyarakat Tawau, Dewan SRJK Yuk Chin, Dewan SRJK Chung Hwa Batu 6 Jalan Apas, Dewan SK Tanjung Batu Keramat, Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG) Balung dan Dewan SK Merotai Tawau.