LANGKAWI: Sebahagian daripada dos vaksin yang telah diperuntukkan kepada petugas barisan hadapan di Langkawi bagi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, selamat dibawa menaiki Feri Pengangkut (RORO) dari Terminal Feri Kuala Perlis kira-kira jam 10.05 pagi tadi.

Konvoi membawa vaksin ini tiba kira-kira jam 9.30 pagi dengan lori DHL.

Misi membawa vaksin ini diiringi kenderaan pacuan empat roda (4X4), MPV, HPV dan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaik tiba dengan pesawat di Warehouse DHL Pulau Pinang pada jam 7 pagi.

Konvoi membawa vaksin ini, diketuai Supt Syed Basri Syed Ali bersama enam pegawai dan sembilan anggota bagi memastikan kelancaran penghantaran, tiba tepat pada waktunya.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Fikri Ujang ketika dihubungi, vaksin ini antara 50,310 dos yang telah diperuntukkan kepada negeri itu.

Kesemua vaksin berkenaan akan ditempatkan di tiga Pusat Simpanan Vaksin (PSV) terpilih iaitu di fasiliti yang telah dilengkapi dengan peralatan peralatan dan persekitaran yang selamat, sebaik tiba di Langkawi.

Katanya, vaksin yang disimpan itu kemudiannya akan diedarkan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melibatkan fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta fasiliti agensi-agensi kerajaan dan dewan yang telah dikenal pasti di pulau peranginan itu.

Foto Astro AWANI

Beliau menjelaskan, proses pengedaran ke kesemua PPV akan dibuat mengikut keperluan pusat penerimaan masing-masing berdasarkan jadual suntikan yang telah disediakan PPV terbabit.

Kumpulan di Langkawi antara 25,155 senarai penerima vaksin yang terdiri daripada petugas kesihatan KKM dan swasta, petugas barisan hadapan PDRM, APM, Kastam, Imigresen, Penjara dan Bomba telah dikenal pasti untuk diberikan suntikan pada tempoh fasa pertama yang bermula pada 28 Februari sehingga penghujung bulan April 2021.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijadual memberi liputan vaksinasi kepada 80 peratus penduduk dan pekerja bukan warganegara melibatkan 1.76 juta individu di negeri Kedah.

Foto Astro AWANI