KUALA LUMPUR: Keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan vaksin COVID-19 Sinovac dari China untuk kegunaan kecemasan menandakan pengiktarafan dunia terhadap teknologi, kecekapan dan keberkesanan makmal vaksin negara itu.

Ia sekali gus meningkatkan permintaan global terhadap vaksin itu dan melihat keadaan tersebut, Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) telah mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan bekalan vaksin itu mencukupi untuk rakyat Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, cadangan telah diberikan kepada kerajaan untuk kekurangan bekalan selain membantu mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kami sudah mencadangkan kepada kerajaan untuk membekalkan vaksin 'fill and finish' dan vaksin siap supaya dapat membantu mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) termasuk mengkaji semula obligasi kontrak, sekali gus memendekkan tempoh bekalan.

“Kami juga akan mengimport 10 juta dos vaksin COVID-19 Sinovac yang siap dari China,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, kelulusan itu juga membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan kebenaran untuk digunakan sebagai prasyarat ke luar negara termasuk membantu untuk pembangunan semula ekonomi dan menunaikan haji.

Tambahnya, beberapa negara juga telah merekodkan keberkesanan yang tinggi bagi suntikan vaksin Sinovac dalam mencegah gejala COVID-19.

“Ini telah disokong oleh Kementerian Kesihatan Indonesia yang telah melaporkan bahawa dua dos suntikan vaksin ini (Sinovac) berkesan untuk mencegah gejala COVID-19 sebanyak 94 peratus.

“Selain itu, 96 peratus juga berkesan terhadap kemasukan ke hospital dan 98 peratus berkesan untuk mencegah kematian. Di Uruguay pula kadar kematian dapat dicegah sehingga 97 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menambah, setakat ini syarikat itu hanya membekalkan vaksin kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan dibenarkan untuk membekalkan vaksin kepada kerajaan negeri dan syarikat swasta setelah memenuhi syarat perjanjian dengan kerajaan.

Terdahulu, WHO telah meluluskan vaksin COVID-19 Sinovac untuk kegunaan kecemasan pada Selasa.

Bulan lalu, Sinopharm menjadi vaksin COVID-19 pertama buatan China yang mendapat kelulusan WHO.

Selain itu, turut mendapat kelulusan WHO untuk penggunaan kecemasan ialah vaksin Pfizer-BioNTech, Moderna, Johnson & Johnson dan Astrazeneca.


Vaksin Sinovac | Kelulusan WHO tingkatkan keyakinan rakyat Malaysia