Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan proses siasatan berhubung video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan yang juga pemimpin parti itu kepada pihak polis.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, parti berkenaan tidak akan menjalankan siasatan dalaman berkaitan video tersebut.

PKR, kata beliau, menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana kedua-dua agensi kerajaan itu mempunyai kepakaran yang khusus dalam isu ini.

“Agensi penyiasat di negara kita ini sangat dipercayai. Kita dengar SKMM ada kepakaran, Jabatan Forensik Polis sedang menyiasat, siapa dalam parti yang ada kepakaran profesional secara khusus?

“Anda rasa boleh himpunkan Ketua Cabang Padang Besar duduk dengan Ketua Cabang Padang Rengas siasat? Kita tidak boleh,” katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Menurut Saifuddin, Biro Politik PKR juga akan mengadakan mesyuarat mingguan pada petang ini dan akan membincangkan perkembangan isu video intim tersebut.

Ketika ditanya mengenai tiada sebarang tindakan yang diambil terhadap Haziq setakat ini, Saifuddin berkata: “Kita bincang petang ini. Kita akan dengar semua pandangan”.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu ini juga menolak keperluan untuk membawa isu ini ke Majlis Presiden Pakatan Harapan kerana pihak polis masih lagi menyiasat perkara tersebut.

Minggu lalu, tersebar tiga video aksi intim yang memaparkan seorang lelaki yang mirip pemimpin utama PKR dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Sehari selepas video itu tersebar, Haziq tampil membuat pengakuan beliau merupakan individu dalam video dengan pemimpin tersebut dan menjelaskan perlakuan sumbang itu dilakukan di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau individu di dalam video tersebut dan menegaskan ia adalah satu fitnah dan cubaan untuk menjejaskan kreadibilitinya.