IPOH: Polis berjaya memberkas seorang lelaki selepas video tular suspek berkelakuan aib dan mengeluarkan kata-kata kesat serta memainkan sentimen perkauman di sebuah restotan di Falim, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun, diberkas di Ampang Baru, kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis ganja.

“Polis sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.

“Dengan tertangkapnya suspek tersebut, maka kes ini telahpun diselesaikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Justerus, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video tersebut sehingga menjejaskan siasatan polis dan mendatangkan kegusaran di kalangan masyarakat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Berkelakuan Aib).

Semalam polis telah terkesan video berkenaan berdurasi 1 minit 18 saat yang ditularkan di media sosial Twitter milik akaun bernama ‘Nan Manjoi8715’, yang telah menarik perhatian umum.

Yahaya mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan polis mengenai kejadian tersebut pada Ahad.