IPOH: Polis sedang mengesan lima individu yang terlibat dalam pergaduhan membabitkan senjata rotan di jalan raya di Tanjung Rambutan, Ulu Kinta dekat sini, menerusi satu video tular di media sosial sejak semalam. 

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kejadian yang melibatkan lima lelaki tempatan itu berlaku kira-kira pada jam 5.30 petang pada Khamis.

Lokasi kejadian ialah di Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan-Tambun dekat sini.

“Kini, pihak polis sedang menyiasat punca kejadian tersebut dan mengesan individu-individu yang terlibat dalam kes itu.

“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta tampil membantu siasatan pihak polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, ASP Norshaharah Marzuki, di talian 010-3790508,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum itu tular di media sosial video berdurasi 17 saat memaparkan kejadian pergaduhan lima individu membabitkan senjata jenis rotan di atas jalan raya di Tanjung Rambutan.

Dalam video berkenaan, seorang lelaki dipercaya telah dipukul oleh tiga individu yang memakai topi keledar dengan dua daripada mereka menggunakan rotan.