SHAH ALAM: Sebanyak tiga buah kenderaan musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Jalan Matahari AA, Seksyen U5 di sini pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba Sungai Buloh dan Kota Anggerik ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 5.34 pagi tadi.

"Kebakaran melibatkan sebuah bangunan kedai tiga tingkat kelas A.

"Kebakaran melibatkan bengkel kereta berkeluasan 3.71 meter persegi (m²) x 7.43m² dan dianggarkan 50 peratus premis berkenaan terbakar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Norazam berkata, kereta yang musnah adalah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena yang terbakar 100 peratus, sebuah Mercedes (30 peratus) dan Volkswagen (50 peratus).

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 6.09 pagi. - Sinar Harian