Sehari sebelum XC90 T8 Twin Engine dilancarkan di Malaysia pada minggu lepas (baca laporannya di sini), ibu syarikat Volvo di Sweden telah mengumumkan bakal ketibaan sedan S90 generasi terkini. Walaupun XC90 akan kekal sebagai model terpenting (flagship) syarikat tersebut, terdapat banyak persamaan antara SUV dan S90 (selain daripada perkongsian platform SPA) yang bakal diperkenalkan kepada umum sewaktu pameran kereta Detroit pada pertengahan bulan Januari 2016 kelak.
Unsur pertama adalah penggunaan enjin T8, iaitu enjin aluminium empat silinder, 2.0-liter yang ditambah dengan turbo serta supercharger. Tidak cukup dengan itu, sebagai sebuah hibrid plug-in ia turut menerima kuasa tambahan daripada motor elektrik. Di dalam XC90 T8, output daripada unit pacuan ini berjumlah 407hp dan dengan tork setinggi 640Nm.
Volvo turut menjelaskan yang sedan premium ini akan dilengkapi pelbagai ciri-ciri keselamatan generasi terkini seperti Pilot Assist dan City Safety.
(Klik untuk galeri penuh)
Pilot Assist digambarkan oleh Volvo sebagai sebuah ciri separa-autonomous di mana ia mampu untuk memperbetulkan arah stereng supaya kenderaan sentiasa berada di lorong. Ciri ini berfungsi sehingga kelajuan 130km/j.
City Safety pula sebenarnya adalah terdiri daripada pelbagai ciri-ciri akti adan pasif yang menjadikan model seperti XC90 baharu dan S90 yang bakal dilancarkan lebih selamat. Baharu bagi City Safety adalah ‘pengesan haiwan besar’ (large animal detection). Seperti yang diterangkan melalui namanya, apabila seekor haiwan besar seperti kuda,lembu atau rusa dikesan berada di laluan kereta, amaran akan diberikan kepada pemandu dan sistem brek akan diperkuatkan agar kemalangan dapat dielak.
Tambahan lagi, berdasarkan kepada gambar-gambar awal yang disediakan Volvo, papan pemuka S90 ini mempunyai persamaan dengan apa yang tersedia di dalam XC90 khususnya skrin 12.3 inci yang menjadi antara muka antara pemandu dan kereta.
Krristal Orrefors yang digunakan sebagai tuil gear pada XC90 juga ada di sini, tetapi bukan pada semua varian.
Maklumat lebih lanjut sedan S90 generasi terbaharu ini akan didedahkan pada pameran kereta Detroit bulan hadapan.