Volvo XC90 T8 Twin Engine dilancarkan. Memang memikat!

Sekian sekian lama, Volvo XC90 yang sudah agak veteren di dalam pasaran sudah digantikan dengan generasi yang terkini, dilengkapi dengan ciri-ciri teknologi paling moden serta rekaan mantap.
XC90 T8 Twin Engine baharu ini membawa harapan menggunung untuk membawa Volvo ke peringkat lebih tinggi berbekalkan platform SPA (Scalable Project Architecture) yang pertama kali digunakan. Platform ini turut menjadi asas kepada pelan transformasi Volvo yang memakan kos AS$11 bilion.
Volvo mendakwa yang pecutan 0-100km/j mengambil masa 5.6 saat, dengan kelajuan maksima 230km/j. Ini semua mampu dilakukan walaupun dengan tayar bersaiz 20 inci 275/45 dan berat kenderaan 2,343kg.
Juga menarik adalah kadar penggunaan petrol serendah 2.1 liter bagi setiap 100km. Mengikut rangka NAP, ini membolehkan XC90 baharu diletakkan di dalam segmen ‘J’ jentera EEV (kenderaan cekap tenaga) – sebuah 4x4 besar dengan berat antara 2,051kg hingga 2,350kg yang (jauh) daripada kadar pembakaran bahan api minima 11.5 liter setiap 100km.
Oleh itu, Volvo Cars Malaysia (VCM) mendapat insentif-insentif EEV dan menyumbang kepada harga XC90 ini yang sangat menarik: RM453,888 (atas jalan+GST, tanpa insurans). Sekarang, XC90 T8 Twin Engine diimport secara CBU, tetapi (mengikut perancangan) akan dipasang di kilang Volvo yang terletak di Shah Alam bermula pertengahan tahun hadapan. Pada ketika itu sudah pasti harganya akan direndahkan, cuma jumlahnya belum diketahui lagi.
Seperti model-model Volvo lain, ciri keselamatan menjadi tumpuan utama. DI sini, kenderaan ini dilengkapi dengan Rear Collision Mitigation, Pedestrian and Cyclist Detection, City Safety, Cruise Control adaptif, Lane Keeping Aid, dan juga sistem BLIS. Sebenarnya ada banyak lagi peralatan keselamatan tetapi banyak sangat hendak disenaraikan; mungkin elok diterangkan di dalam satu artikel asing sahaja.
Di dalam kabin, tumpuan semua pasti akan terus menuju ke arah skrin di tengah papan pemuka yang tidak ubah seperti sebuah iPad. Ia besar dan menonjol, dan dari situ menjadi antaramuka pemandu-kenderaan yang efektif. Bahkan, berbanding kereta-kereta lain – tidak kira mewah ataupun tidak – papan pemuka Volvo ini memang sangat ringkas. Hanya ada lapan butang fizikal, dan semuanya terletak di dalam satu baris di bawah skrin sentuh 12.3 inci tersebut.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

