KUANTAN: Di sebalik kehidupan masyarakat Orang Asli yang dekat dengan alam dan warisan, mereka juga mempunyai sumbangan tersendiri kepada negara dalam pelbagai bidang.
Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, 48, berkata, peranan tersebut dibuktikan menerusi khidmatnya dalam pentadbiran dan pendidikan.
Menurut anak jati suku kaum Semelai itu, kepercayaan mewakili negara pada Persidangan Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland pada 2018 menjadi antara pengalaman paling bermakna.
“Semasa itu saya diberi tugas untuk memberi jawapan balas kepada persoalan yang dibangkitkan bagi mempertahankan nama baik Malaysia berkaitan masyarakat Orang Asli, masyarakat pribumi dan golongan minoriti.
"Ini menjadi peluang untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kami masyarakat pribumi Malaysia mempunyai keupayaan, pemikiran dan sumbangan yang seiring dengan perkembangan global,” katanya kepada Sinar Harian.
Sepanjang berada dalam bidang pentadbiran, beliau yang berasal dari Kampung Orang Asli Pos Iskandar, Bera pernah terlibat dalam usaha mendapatkan kelulusan Dasar Pewartaan Tanah Orang Asli bagi 264 kampung di Pahang pada 2017.
“Apa sahaja yang kita lakukan bukan untuk kepentingan diri, tetapi memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya yang menubuhkan Orkestra Simfoni Orang Asli pertama di Malaysia pada 2023 dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Selepas 16 tahun dalam bidang pentadbiran, Johari kembali menyumbang khidmat dalam bidang pendidikan sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (1).
“Saya bangga kerana Orang Asli adalah sebahagian daripada sejarah, budaya dan masa depan Malaysia. Malah kami ada warisan serta ilmu yang boleh terus menyumbang kepada negara.
“Lahir Orang Asli, tak malu jadi Orang Asli dan mati juga Orang Asli,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Rancangan Penempatan Semula (RPS) Orang Asli Sungai Bilut, Azmani Nurdin, 27, berkata, pendekatan berdikari menjadi antara fokus utama dalam membangunkan golongan muda di kampung berkenaan.
Ujarnya, antara usaha yang digerakkan termasuk menjalankan aktiviti ekonomi tempatan menerusi penjualan baja organik dan baja kimia yang diusahakannya bersama masyarakat kampung.
“Usaha ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan, tetapi memberi peluang kepada anak-anak muda belajar berniaga serta mengusahakan hasil mereka sendiri.
“Kita bukan nak menjadi penerima sahaja, kita nak menjadi penyumbang juga untuk negara, negeri dan masyarakat,” katanya daripada suku kaum Temuan dan pernah dinobat Tokoh Maal Hijrah Saudara Baharu Negeri Pahang 1447H/2025M.
Bagi Batin Johari Kin Moon, 57, dari Kampung Orang Asli Batu 14, Gambang, berkata, kebanggaan sebagai masyarakat Orang Asli bukan sekadar terletak pada adat diwarisi, malah pengetahuan mengenai hutan dan semangat masyarakatnya dalam menjaga hubungan sesama komuniti.
Tegasnya, adat yang diwarisi daripada generasi terdahulu terus diamalkan dalam kehidupan masyarakat suku kaum Jakun, termasuk dalam urusan perkahwinan dan kematian.
Johari berkata, hubungan rapat dengan hutan juga menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Orang Asli sejak dahulu, termasuk pengetahuan mengenali rotan dan akar kayu yang boleh digunakan sebagai sumber pendapatan.
"Tetapi apabila berada di dalam hutan, kita mestilah menjaga disiplin serta tidak bercakap besar, terutamanya dengan binatang buas.
“Anak-anak muda kampung ini pun ada yang berjaya sampai ke luar negara. Begitu juga dari segi bidang sukan, belia-belia aktif dengan sukan futsal dan badminton,” katanya.