PASIR MAS: Walaupun cuaca di Kelantan dilaporkan baik sepanjang hari ini dengan hujan mulai reda, namun mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus meningkat kepada 1,769 orang, membabitkan 547 keluarga setakat jam 5 petang tadi.

Bacaan paras air Sungai Golok masih lagi berada pada bacaan paras bahaya iaitu, 9.52 meter manakala bacaan paras air Sungai Golok di Tumpat menunjukkan peningkatan dengan bacaan meningkat pada bacaan paras berjaga-jaga.

Mangsa banjir di daerah Rantau Panjang merupakan penduduk yang sudah tiga kali berdepan banjir pada tahun ini dimana gelombang pertama banjir yang melanda awal Mac lepas disifatkan terburuk dalam sejarah.

LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI


Perkembangan semasa banjir di Kelantan


Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kelantan, Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab memaklumkan operasi membawa keluar mangsa banjir dimulakan sejak awal pagi hingga kini.

 90 anggota Pertahanan Awam ditugaskan membawa mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara di jajahan Pasir Mas sejak banjir melanda pada Jumaat lepas.

"Hari ini, tumpuan diberikan di kawasan Pasir Mas, dimana operasi pemindahan dilakukan membabitkan penduduk kampung Serongga dan Sri Kiambang yang mula dinaiki air malam tadi," katanya.

Mohd Adzhar pada masa sama mengingatkan mangsa banjir supaya berwaspada dengan kehadiran binatang berbisa.

"Pihak Angkatan Pertahanan Awam menerima laporan penemuan dan kehadiran binatang berbisa di kediaman dan kawasan yang dinaiki air.

Walaupun tiada laporan serangan atau kecederaan kerana patukan atau gigitan binatang berbisa diterima setakat petang ini, mangsa banjir terutama kana- kanak dinasihatkan supaya tidak bermain air atau ke tempa- tempat yang boleh mengundang bahaya.