BUTTERWORTH: Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan agar tidak berpecah-belah sehingga meretakkan parti, sebaliknya bersatu meneruskan perjuangan yang dibina sejak 25 tahun lepas.

Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata peringatan tersebut penting kerana perpecahan dalam parti boleh merosakkan parti yang ditubuhkan dengan semangat reformasi itu.

"Kita (dulu) sama-sama susah jadi saya mahu semua teruskan (teruskan perjuangan) sebab apa yang kita kecapi hari ini adalah hasil perjuangan kita yang terdahulu. Jangan pecah-belah kerana ia hanya akan meretakkan parti.

"Antara yang retak itu pula akan pecah dan yang pecah akan pecah lagi, jadi mari kita sama-sama bina lagi parti ini, Jangan biarkan perjuangan ini mati," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan 25 Tahun Keadilan Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut meluahkan perasaan sedih apabila Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar tewas di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang merupakan kubu kuat PKR sekian lama.

Meskipun gagal mempertahankan kerusi tradisi parti itu dalam PRU lepas, Wan Azizah yang juga pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, mahu PKR merampas semula kawasan itu yang merupakan tempat bermulanya reformasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga presiden parti tersebut.

Justeru, isteri Perdana Menteri itu berharap semua ahli dapat bekerjasama dengan baik dengan mengimbau kembali kepayahan 25 tahun lepas serta meneruskan perjuangan demi masa depan generasi akan datang.

Terdahulu, Wan Azizah melancarkan Buku Sejarah Reformasi yang mengisahkan tentang perjuangan PKR sejak penubuhan parti itu pada 1999.

Turut hadir Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang.

-- BERNAMA