KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penyaluran wang ihsan berjumlah RM177.96 juta kepada negeri Kelantan.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan wang ihsan yang diterima negeri Kelantan adalah sebanyak RM217.96 juta pada 2023.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Mohd Nussuruddin turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berkaitan kelulusan peruntukan segera bagi membina benteng sementara bagi PLSB Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta.

Beliau juga menyokong pengumuman agar proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM910.52 juta yang akan dimulakan pada tahun 2024.



“Kerajaan Negeri pula akan mengambil segala langkah yang perlu untuk menyegerakan urusan pengambilan balik tanah untuk projek-projek ini.

“Kerajaan Negeri yakin pengumuman tersebut akan memberi manfaat demi kesejahteraan rakyat negeri Kelantan.

“Ia juga sekali gus memperkukuhkan semangat federalisme di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan selari dengan Budaya Politik Matang Dan Sejahtera,” katanya.