KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang mengalami masalah tekanan perasaan ditemui maut dipercayai selepas terjatuh dari tingkat tujuh di sebuah apartmen di Cheras, ibu negara.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 4.34 petang daripada seorang lelaki yang memaklum terdapat kematian di Kawasan itu.

“Mangsa berusia 56 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di lantai tingkat satu ruang penyidai pakaian di apartmen itu.

“Pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.


Jatuh Apartmen | Maut terjatuh dari tingkat 7

“Hasil soal siasat dengan suami mangsa, mendapati wanita berkenaan ada menerima rawatan sakit mental di sebuah Klinik Pakar yang terletak di Alam Damai, Cheras,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Muhammad Idzam berkata kejadian disyaki berpunca daripada tekanan perasaan yang dialami mangsa sejak Januari 2021.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7627 2929 atau e-mel kepada [email protected] selain di laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube untuk bantuan.