Seorang wanita cedera dalam kebakaran di dalam kereta yang dipandunya di Avenue 5, Bangsar South City di Kerinchi, Kuala Lumpur.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Mansor mengesahkan mengenai kejadian itu yang menjadi viral di media sosial.

Menurutnya, wanita berkenaan dilaporkan telah memandu keretanya jenis Perodua Viva ke hadapan bangunan Averis dan terus menghala ke pintu masuk utama.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja kereta itu tersekat di bahagian anak tangga, wanita berkenaan bertindak keluar dari keretanya sebelum menyalakan pemetik api ke bajunya sendiri.

Tindakan pantas pengawal keselamatan berjaya menghalang api daripada terus marak.


Katanya, wanita itu kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan akibat kebakaran lebih 50 peratus di badannya.

Keadaannya dilaporkan kritikal.

Barang-barang seperti tong gas, botol berisi petrol dan kotak mercun turut dijumpai polis di dalam kereta Perodua Viva wanita tersebut.

Sementara itu, Sharul berkata pemeriksaan polis ke atas kereta berkenaan menjumpai tong gas, botol berisi petrol dan kotak mercun.

Siasatan polis mendapati, wanita berusia 35 tahun itu pernah menerima rawatan psikatrik di Hospital Selayang dan telah diberhentikan kerja dalam bidang penyelidikan IT.

Wanita itu dikatakan tinggal bersama keluarganya di Selayang dan masih bujang.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.