GOPENG: Seorang wanita cedera selepas dikatakan tercampak keluar daripada keretanya yang terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter di Jalan Gopeng - Kota Bharu di sini, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil telah terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter.

“Terdapat seorang mangsa perempuan berbangsa Melayu tercampak keluar,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Beliau berkata, ketua operasi membuat ‘size up’ dan mengaplikasikan konsep SAVER, seterusnya membawa naik mangsa menggunakan pengusung.

Tambahnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Wan Mohd Fadzil bin Wan Hamzah tamat jam 1.22 pagi.