MALAYSIA
Wanita China serang pegawai kaunter imigresen didakwa esok

Seorang wanita China yang mencederakan pegawai kaunter imigresen akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang pada Isnin. - Gambar fail
SHAH ALAM: Seorang wanita warga China yang ditahan berhubung kes mencederakan pegawai kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada Isnin.
Ringkasan AI
- Seorang wanita warga China berusia 31 tahun akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas kes mencederakan pegawai imigresen di KLIA Terminal 1, selepas insiden agresif pada Rabu lalu.
- Suspek bertindak memaki hamun, menarik tudung dan menolak kepala pegawai imigresen ke tiang, menyebabkan kecederaan fizikal yang memerlukan rawatan di Hospital Cyberjaya.
- Wanita tersebut direman empat hari dan disiasat di bawah tiga seksyen Kanun Keseksaan: Seksyen 186 (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 (mencederakan penjawat awam), dan Seksyen 353 (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam).
"Wanita warga China ini akan didakwa esok (Isnin) di mahkamah," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Mengenai rekod kemasukan wanita terbabit ke dalam negara, Albany menjelaskan bahawa perkara itu sedang disiasat oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tindakan biadab seorang wanita China berusia 31 tahun yang bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen semasa pemeriksaan pelepasan di KLIA Terminal 1 pada Rabu lalu.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) melaporkan bahawa kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam apabila empat warga China, terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak, hadir untuk pemeriksaan pelepasan imigresen.
Pegawai kaunter mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk dan telah merujuk kepada Penyelia Pasukan untuk semakan lanjut.
Bagaimanapun, wanita dewasa tersebut tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat.
Suspek kemudian memaki hamun pegawai dengan kata-kata kesat sebelum menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter.
Akibat serangan itu, pegawai mengalami bengkak di sekitar mata kiri, sakit kepala dan lenguh badan, sebelum dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan serta laporan perubatan.
Susulan itu, suspek telah direman selama empat hari bagi siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 Kanun Keseksaan (mencederakan penjawat awam), dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam). -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami