KUALA LUMPUR: Wanita diseru untuk bersama-sama merancang, melaksana dan fokus pada agenda pemerkasaan hala tuju wanita dalam pembangunan negara di semua peringkat sempena sambutan Hari Malaysia 2022, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berkata wanita hari ini semakin berdikari, kuat, berani dan bukan lagi lemah serta hanya mengikut arahan.

"Di negara kita, peratusan wanita sebagai ahli lembaga pengarah merupakan tertinggi di Asia, iaitu 25.8 peratus berbanding purata global 19.7 peratus sahaja.

"Dalam sektor perkhidmatan awam pula, 38.2 peratus daripada jawatan peringkat pembuat keputusan, iaitu di Gred Utama C dan ke atas dipegang oleh wanita.

"Melihat kepada keupayaan wanita pada hari ini, saya berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba merendah-rendahkan martabat wanita," katanya.

Noraini berkata walaupun angka dan pencapaian tersebut menunjukkan perkembangan positif, perjuangan memartabatkan wanita masih perlu diteruskan.

Katanya, aspek pemerkasaan wanita merangkumi pelbagal bidang perlu dimulakan dari peringkat awal dalam menjayakan aspirasi pemerkasaan wanita, dengan setiap peringkat wanita perlu digerakkan.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswi Kebangsaan 2022 daripada pihak kementerian (KPT) di UiTM Puncak Alam baru-baru ini adalah contoh terbaik inisiatif memperkasakan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan.

"Konvensyen ini bukan sahaja untuk kita mendengar suara, idea dan pandangan malah lebih lagi, mengiktiraf kepimpinan wanita muda ini, yang mana suatu hari nanti bakal mewarisi kepimpinan negara," katanya.

-- BERNAMA