Gara-gara dikatakan mempunyai tunggakan cukai, seorang wanita menanggung kerugian RM65,619 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kelmarin.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa berusia 43 tahun menerima satu panggilan telefon daripada seorang suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN Alor Setar.

"Suspek mendakwa mangsa mempunyai cukai yang tidak berbayar sebanyak RM17,600.76 iaitu tunggakan selama 15 bulan.

"Selepas itu lelaki berkenaan meminta mangsa membuat bayaran tunggakan berkenaan. Suspek kemudian meminta maklumat kad bank milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari.

Beliau berkata, mangsa kemudian menyerahkan butiran peribadi dua kad ATM miliknya kepada suspek.

"Tidak lama kemudian, mangsa menerima beberapa nombor TAC sebelum memberikan kepada suspek secara berperingkat.

"Semalam, mangsa menerima panggilan dari pihak bank menyatakan dia ada membuat transaksi sebanyak RM4,9647.87 dan RM1,5971.25 dari akaunnya ke dalam akaun yang tidak dikenali," katanya.

Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek masih lagi meminta wang sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya.