KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan berhampiran susur keluar Desa Water Park di Kilometer 2.2 Lebuh Raya Seremban menghala ibu kota pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mangsa maut merupakan individu warga tempatan berumur 26 tahun.

"Siasatan dijalankan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu mangsa hilang kawalan, terbabas lalu melanggar batu pembahagi jalan.

"Semasa kejadian mangsa memandu dari arah Tol Sungai Besi menghala ke pusat bandar raya Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian turut mengakibatkan kereta mangsa remuk di bahagian hadapan dan pintu sebelah kanan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -Sinar Harian