KLUANG : Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori dalam kejadian berhampiran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Renggam, Simpang Renggam dekat sini pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Nizar Ma’mun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian tersebut pada jam 7.33 malam.

Menurutnya, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Hyundai Atos dipandu mangsa, Tasnim Nazatul Amiera Mohd Nasrun, 21, dengan sebuah lori Hino lima tan dipandu Mohd Suhaimi Samsudin, 42.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan bomba berjaya mengeluarkannya dengan menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

"Mayat mangsa kemudiaan diserahkan kepada pihak polis, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tersebut ditamatkan pada jam 9.42 malam," katanya.- Sinar Harian