Prosiding di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhenti seketika selepas seorang tertuduh wanita yang mengandung pengsan di kandang tertuduh sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Bagaimanapun, Mardiana Othman, 35, yang jatuh ke lantai, sedar selepas hampir seminit pengsan dan dia diangkat seorang tertuduh wanita yang berada di sebelahnya serta seorang anggota polis.

Keadaan itu membuatkan Majistret Nurul' Ain Abdul Rahim dan semua yang berada dalam mahkamah tergamam seketika sebelum prosiding diteruskan seperti biasa.

Nurul' Ain kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas Mardiana yang mengaku gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan sementara kepada pegawai polis semasa diperiksa.

Mahkamah juga memerintahkan ibu kepada tiga anak itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mardiana didakwa melakukan kesalahan itu di depan sebuah hotel di Jalan Raja Laut di sini pada 6 petang 31 Mei lepas mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Terdahulu, Mardiana memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia tidak bekerja, sedang mengandung serta pendapatan suaminya sebagai 'packaging mover' adalah rendah selain menyara ibunya yang berumur 70 tahun.

Di mahkamah sama, seorang bekas pengawal keselamatan dihukum penjara dua bulan selepas mengaku memeras ugut seorang lelaki sebanyak RM5.

Mohd Hafiezie Hussien, 26, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Syed Tun Mohamad Aiman Syed Zulkhairanain di Tingkat G, Menara Daya Bumi di sini pada 4.45 petang 29 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.