Seorang wanita berusia 55 tahun ditemui rentung selepas dipercayai gagal keluar daripada kediamannya yang musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Tambilaung, Kota Belud, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi Khamis, mangsa dikenali sebagai Arimah Sagi ditemui rentung berhampiran pintu masuk rumahnya oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud yang seterusnya menyerahkan mayat wanita itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim berkata, berkata, bomba menerima panggilan jam 2.09 pagi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan seramai enam anggota dari BBP Kota Belud digegaskan ke lokasi kejadian untuk operasi memadamkan kebakaran.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal bomba, tujuh sekeluarga berusia antara 6 hingga 74 tahun yang terbabit dalam kebakaran itu tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman separa kayu didiami mereka hangus terbakar manakala seorang mangsa ditemui rentung kerana terperangkap dalam kejadian berkenaan.

"Semua ahli keluarga mangsa yang lain terselamat dalam kejadian itu selepas berjaya menyelamatkan diri.

"Mangsa wanita yang maut dikatakan terperangkap di dalam rumahnya dan sudah diserahkan pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Operasi memadam itu berjaya ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.45 pagi tadi.