Perhimpunan Agung sayap Wanita UMNO hari ini membuat pendirian untuk tidak bersetuju sama sekali untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948.

Pendirian ini disampaikan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, semasa ucapan dasarnya di persidangan Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Shahrizat berkata Wanita UMNO akan menggerakkan satu kempen untuk mendapatkan satu juta tandatangan untuk menggesa kerajaan supaya tidak memansuh akta itu demi keselamatan, keamanan dan perpaduan tanah air.

"Satu juta tandatangan ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seawal mungkin sebagai bukti bahawa Wanita UMNO memandang serius tentang perkara ini dan dengan harapan Perdana Menteri dan kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Wanita UMNO mendesak kerajaan bagi mengekalkan pemakaian Akta Hasutan 1948 dengan penambahbaikkan yang bersesuaian dengan mengambil kira keperluan menjaga hak-hak seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjamin keselamatan rakyat dan kepentingan Negara," kata Shahrizat di dalam ucapannya.

Walau bagaimanapun, Shahrizat berkata mana-mana peruntukan Akta Hasutan 1948 yang tidak lagi relevan, boleh dipinda atau dimansuhkan dengan segera contohnya, peruntukan yang menghalang rakyat mengkritik Kerajaan dan pentadbiran sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Akta Hasutan 1948 yang sedia ada.

"Sesungguhnya pandangan yang membina dan bertujuan untuk menambahbaik pentabiran dan sistem yang sedia ada hendaklah dialu-alukan dan tidak wajar disekat," katanya.

Shahrizat juga meminta kerajaan menjanjikan perlarangan tiga perkara dalam mempertimbangkan hala tuju Akta Hasutan 1948 yang bakal dipertimbangkan oleh kerajaan.

Tiga perkara tersebut adalah mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja; mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; dan mempersoalkan apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan kedaulatan atau prerogatif sebagaimana yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutan.

Shahrizat menambah, penggubalan Akta Keharmonian Nasional wajar diteruskan untuk mempromosi dan menggalakkan semangat harmoni dan saling hormat-menghormati di antara semua kaum di Malaysia.

"Akta Keharmonian Nasional boleh digubalkan bagi memperuntukkan peruntukan-peruntukan yang bertujuan untuk menggalakkan perasaan muhibah sesama kaum dan keharmonian nasional.

"Akta ini tidak sewajarnya bersifat menghukum tetapi lebih menumpukan kepada elemen memupuk semangat saling hormat menghormati di antara kaum yang berbeza agama dan kebudayaan," katanya.