Wanita warga emas hilang sejak semalam ditemukan lemas dalam sungai

Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan lemas di kawasan sungai belakang rumahnya di Kampung Tasik, Sungai Rambai, hari ini. - Gambar fail/hiasan
JASIN: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan lemas di kawasan sungai belakang rumahnya di Kampung Tasik, Sungai Rambai, di sini hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau Penolong Pegawai Bomba Mohd Farid Abu Bakar berkata wanita berusia 83 tahun itu ditemukan pasukan penyelamat pada 11.51 pagi dalam keadaan terapung di permukaan sungai.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan semalam selepas menerima maklumat daripada polis mengenai kehilangan mangsa yang disedari ahli keluarga kira-kira 11 pagi.
"Pencarian diteruskan pagi ini dengan bantuan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORMP), Unit Anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata operasi pencarian dijalankan dalam radius 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dengan pembahagian kepada empat kumpulan termasuk pasukan menggunakan bot di kawasan sungai berhampiran.
Mohd Farid berkata wanita terbabit disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala operasi tamat sepenuhnya pada 1.12 tengah hari.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami