Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Wanita warga emas Orang Asli ditemukan maut selepas enam hari hilang di Rompin

Mayat Kuang Poh (gambar kecil) ditemukan oleh pasukan penyelamat di lokasi kira-kira 500 meter dari kawasan rumahnya._Sinar Harian
Seorang wanita warga emas Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak Rabu lepas ditemukan meninggal dunia di kawasan paya, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Lesong, Kedaik, Rompin hari ini. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUANTAN: Seorang wanita warga emas Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak Rabu lepas ditemukan meninggal dunia di kawasan paya, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Lesong, Kedaik, Rompin hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata mayat Kuang Poh, 73, ditemukan pada 11.50 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam operasi pencarian yang memasuki hari keenam.

Beliau berkata pasukan SAR melaksanakan pencarian di beberapa lokasi tumpuan dengan bantuan Unit Dron daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Unit Dron daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuantan serta Unit K9 daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

“Pasukan SAR membawa keluar mayat mangsa pada 1.05 tengah hari sebelum dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata punca kematian mangsa tidak dapat dipastikan kerana jasadnya telah mereput dan kes disiasat sebagai kematian mengejut.

“Operasi SAR selesai dan Pos Kawalan Polis ditutup pada 2 petang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan wanita warga emas itu hilang sejak 23 Sept selepas keluar memancing di kawasan paya berdekatan hutan di Kampung Lesong, Kedaik.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement