MALAYSIA
Wanita warga emas rugi RM436,000 terperdaya skim pelaburan saham tidak wujud

Modus operandi kes itu adalah melalui tawaran pelaburan saham dengan pulangan tinggi yang diiklankan dalam kumpulan WhatsApp.
GEORGE TOWN: Polis mengesahkan seorang pesara pengurus program sebuah syarikat penerbangan kerugian RM436,000 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan saham tidak wujud dalam talian baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata wanita berusia 62 tahun itu membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
"Modus operandi kes itu adalah melalui tawaran pelaburan saham dengan pulangan tinggi yang diiklankan dalam kumpulan WhatsApp dan mangsa diminta memuat turun satu aplikasi sebagai platform pelaburan.
"Wanita warga emas itu kemudiannya melakukan 56 transaksi pemindahan wang ke empat akaun syarikat berbeza antara 12 Mei hingga 2 Jun lepas. Mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, malah suspek masih meminta wang tambahan untuk pelaburan itu," katanya dalam kenyataan malam ini.Beliau berkata siasatan mendapati nilai kerugian yang dialami oleh mangsa adalah RM436,000 dan sumber duit itu hasil simpanan peribadi serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Mohd Alwi berkata siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami