KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga asing berputih mata setelah gagal memecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam kejadian di Taman Permint Jaya, Chendering disini pada Jumaat.

Suspek berusia 31 tahun itu juga berjaya ditahan polis dalam tempoh tidak sampai 24 jam di sebuah pekan di Chabang Tiga, di sini kira-kira 20 kilometer (km) dari lokasi kejadian pada jam 6.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 3.55 pagi pada Jumaat.

"Sebaik menerima maklumat, pihak polis terus ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah mesin ATM telah dibuka pada bahagian penutup atas.

"Bagaimanapun, bahagian peti simpanan wang dalam mesin tersebut gagal dibuka dan tiada kerugian wang tunai," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bilik mesin ATM dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat ke atas mesin ATM.

"Jika sabit kesalahan suspek berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun bagi kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun bagi kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

*Berita asal di SInar Harian