Skip to main content

Malaysia

Warga asing libas polis bantuan dengan parang ditahan

61770189851_HandcuffGari.jpg
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak agresif akibat pengaruh alkohol selain berlaku perselisihan faham dengan pihak pengurusan syarikat. - Gambar hiasan
Advertisement

MUKAH: Polis menahan seorang pekerja lelaki warga asing kerana disyaki mencederakan anggota polis bantuan dengan menggunakan parang di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Sebakong, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata pihaknya menahan suspek berusia 39 tahun dan merampas sebilah parang sepanjang 53 sentimeter, selepas menerima laporan kejadian kira-kira 6 petang. 

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 4.40 petang selepas seorang pekerja memaklumkan kepada mangsa mengenai suspek membuat bising di kawasan rumah pekerja sambil memegang parang.

“Anggota polis bantuan yang berusia 45 tahun bergegas ke lokasi dan cuba mententeramkan keadaan, namun suspek tiba-tiba melibas parang sehingga menyebabkan mangsa cedera di bahagian leher,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Rizal berkata mangsa menerima 12 jahitan pada leher dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Mukah, dan suspek juga dirawat di hospital sama kerana mengalami beberapa kecederaan akibat pergelutan semasa tangkapan dibuat.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak agresif akibat pengaruh alkohol selain berlaku perselisihan faham dengan pihak pengurusan syarikat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement