KOTA TINGGI: Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh selepas didapati memandu kereta secara melawan arus di Kilometer 26.5 Jalan Johor Bahru-Mersing yang tular di media sosial pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan pada jam 3.15 petang di kawasan hentian bas Kota Tinggi.

"Sebelum itu, Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah mengesan rakaman video tular berdurasi 50 saat berhubung kejadian tersebut di Facebook.

"Video memaparkan sebuah kereta jenis Nissan Almera berwarna putih dipandu secara melawan arus atau songsang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Hussin, suspek tidak mempunyai lesen memandu, saringan ujian air kencing dijalankan terhadapnya didapati negatif dadah dan kereta terbabit tiada rekod jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda hingga RM15,000.

"Orang ramai diminta sentiasa peka dan patuhi undang-undang yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama di jalan raya," katanya. - Sinar Harian