BAYAN LEPAS: Seorang lelaki warga emas cedera selepas rumahnya ditimpa sebatang pokok durian yang tumbang dalam kejadian di Gertak Sanggul, Pulau Pinang pada Sabtu.

Pokok durian dianggarkan berusia 50 tahun itu tumbang dan menimpa lelaki berusia 63 tahun yang ketika itu berada di bahagian dapur rumah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, kejadian dilaporkan berlaku pada jam  2.15 petang ketika angin kencang.

"Penghuni rumah Tan Liang Sin berada di bahagian dapur rumahnya dan dia dilaporkan hanya cedera ringan namun stor dan dapur rumahnya rosak ditimpa pokok," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri memaklumkan, kejadian membabitkan sebatang pokok durian tanpa buah setinggi kira-kira enam meter dengan ukur lilit dua meter.

"Bomba yang menerima panggilan pada jam 2.40 petang membuat kerja-kerja pemotongan batang pokok dan memastikan dalam keadaan selamat.

"Operasi turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela berdekatan sebelum operasi itu ditamatkan pada jam 5.08 petang,” katanya lagi.