IPOH: Seorang warga emas didakwa di hadapan Majistret di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh atas tuduhan membunuh isterinya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pada awal Ogos lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan apabila pertuduhan terhadap Lim Hon Koi, 72, dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh dari Mahkamah Majistret Kampar di sini hari ini.

Tertuduh sedang dirawat di hospital itu disebabkan mengalami radang usus.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh isterinya Chan Moy, 74, dengan mengelar leher mangsa di dalam bilik tingkat bawah sebuah rumah di Taman Desa Cahaya, Gopeng antara pukul 8 malam 8 Ogos hingga 7.30 pagi 9 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 September sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat, laporan kimia dan Toksikologi.