KUALA LUMPUR: Seorang warga emas ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah cermin kenderaan dan mencuri komputer riba milik seorang wanita berhampiran pejabat Persatuan Perkuburan Cina di Jinjang, di sini pada 11 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata lelaki berumur 64 tahun itu memecah cermin kenderaan mangsa yang bekerja sebagai eksekutif akaun dan mencuri dua komputer riba, wang tunai RM11,000 dan pasport yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

"Suspek kemudian menjual komputer riba itu kepada seorang lelaki yang juga peniaga kedai telefon bimbit dan komputer riba berumur 29 tahun di sebuah pusat beli-belah di Jinjang pada harga RM350 hingga RM1,100 sebuah bergantung kepada jenama.

"Hasil risikan pada 13 dan 14 Januari lepas, warga emas dan pemilik perniagaan itu telah ditahan di Rawang dan Jinjang Selatan," katanya dalam sidang media selepas program walk-about sempena perayaan Tahun Baharu Cina di pasar pagi Kepong Baru, di sini hari ini.

Susulan penahanan itu, beliau berkata polis telah merampas 11 komputer riba, dua telefon bimbit, tiga keping kad Touch n' Go dan wang tunai RM3,500 serta peralatan digunakan suspek untuk memecah cermin kenderaan mangsa.

Beh berkata warga emas yang aktif dalam kegiatan itu sejak 1985 dan mempunyai 17 rekod jenayah lampau baru sahaja didenda sebanyak RM3,500 atas kesalahan sama di Mahkamah Petaling Jaya, tahun lepas.

"Suspek sebenarnya aktif berjudi dan ada meminjam along (pinjaman wang tidak berlesen). Dia juga meminjam daripada kawan-kawannya untuk bayar denda bagi kes-kes lepas. Jadi, untuk bayar balik kesemua hutang itu, dia melakukan kegiatan ini (curi dan jual komputer riba)," katanya.

Beliau berkata tempoh reman warga emas berkenaan yang berakhir hari ini akan disambung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan, manakala pemilik perniagaan itu telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

-- BERNAMA