Hasrat seorang wanita warga emas berusia 80 tahun untuk berbuka puasa bersama keluarga tidak kesampaian apabila dia ditemukan mati dalam keadaan leher dijerut dengan tali nilon di rumahnya di Jalan Kapar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, jiran mangsa mengunjungi rumah mangsa untuk menghantar juadah berbuka puasa sebelum menemukan mangsa dalam keadaan terbaring di bilik hadapan rumah.

Menurut sumber polis, Unit Forensik terus bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan oleh pihak ambulans dan menemui satu tali nilon berwarna hijau di leher mangsa yang dipercayai digunakan untuk menjerut mangsa.

"Hasil siasatan polis mendapati terdapat kesan lebam di tangan kanan dan telinga kiri mangsa selain terdapat kesan jerutan di leher mangsa," katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp.

Katanya, motif kejadian setakat ini dipercayai samun dan bunuh kerana mangsa kehilangan barang kemas selain penemuan tali nilon tersebut.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama suami berumur 78 tahun serta anak perempuannya dan ketika kejadian, hanya mangsa dan suami sahaja di rumah kerana anaknya keluar ke bazar ramadan untuk membeli makanan berbuka puasa.

"Siasatan terhadap suami dan jiran mangsa mendapati mereka tidak mendengar atau melihat sebarang kejadian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.