Seorang warga emas ditemui terkujur tidak bernyawa di kaki lima hadapan sebuah kedai di George Town, Pulau Pinang pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, lelaki yang dikenali sebagai Chicago dipercayai meninggal dunia akibat terlalu banyak minum minuman keras.

Difahamkan, mangsa amat dikenali oleh penduduk di sekitar kawasan itu kerana sering berkeliaran selepas meneguk minuman arak dan tuak.

Pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati mangsa sudah tidak lagi bernyawa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Farid-al-Athrash ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, pemeriksaan keatas mangsa juga mendapati kematiannya tiada unsur jenayah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.