IPOH: Seorang lelaki warga emas ditemukan mati dengan kesan kecederaan dipercayai digigit haiwan di sebuah tokong di Jalan Gopeng di sini tengah hari tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintenden Lee Swee Sake berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa dikenali sebagai Chee Ah Lim, 73, yang juga penjaga tokong itu pada kira-kira 12 tengah hari.

"Pengadu yang hadir ke Balai Polis Kampung Rapat memaklumkan mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di hadapan bangunan tokong.

"Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tidak berpakaian dan mengalami kecederaan pada kedua-dua tangan dan lehernya dipercayai akibat digigit haiwan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata pemeriksaan unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati tiada unsur jenayah dalam insiden kematian mangsa.

Lee berkata berdasarkan pemeriksaan itu, selain pakaian mangsa yang ditemui dalam keadaan koyak berhampiran mayat, polis tidak menolak kemungkinan mangsa digigit dua ekor anjing bersaiz besar yang berkeliaran di tokong itu.

Bagaimanapun, beliau berkata punca kematian mangsa masih disiasat dan proses bedah siasat akan dijalankan di HRPB esok.

"Kita masih menyiasat sama ada mangsa diserang kedua-dua anjing berkenaan sebelum meninggal dunia atau haiwan itu cuba menyelamatkan mangsa yang tidak sedarkan diri dengan menggigitnya," katanya.

Lee berkata kedua-dua anjing yang dipelihara sejak kecil di tokong itu akan dihantar ke Jabatan Veterinar Ipoh untuk siasatan lanjut dan setakat ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA