MALAYSIA
Warga emas maut kereta dilanggar bas

Kemalangan berlaku di Kilometer 9 Jalan Bahau-Rompin, Jempol, petang semalam, mengakibatkan seorang wanita warga emas maut selepas kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah bas. - Foto PDRM
SEREMBAN: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah bas dalam kemalangan di Kilometer 9 Jalan Bahau-Rompin, Jempol dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Norhisham Mustapar berkata pada kejadian 3 petang itu, mangsa yang berusia 61 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Kejadian berlaku ketika bas yang dipandu seorang lelaki berumur 65 tahun bersama lima penumpang dari Rompin menghala ke Bahau dan setibanya di lokasi kejadian, bas tersebut dipercayai termasuk ke laluan bertentangan.
"Pada masa sama, pemandu kereta berusia 64 tahun bersama isterinya yang datang dari arah hadapan cuba mengelak ke kanan namun gagal dan berlaku pelanggaran di bahagian hadapan sebelah kiri kereta tersebut," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.Beliau berkata pemandu bas dan semua penumpang tidak mengalami kecederaan, manakala suami mangsa mengalami kecederaan ringan.
Norhisham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami