TAPAH: Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai merempuh sebuah treler yang membawa muatan serbuk kimia di Kilometer 62, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika treler berkenaan dalam perjalanan dari Tapah menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, treler itu dipercayai keluar dari simpang kilang untuk masuk ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, sebelum dilanggar di bahagian sebelah kiri oleh motosikal mangsa yang dalam perjalanan menuju ke arah sama.

“Dalam kemalangan ini penunggang motosikal, seorang lelaki berumur 60 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Prathiparaj A/L Punasagaran (014-6178095).

“Pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu kenderaan terutamanya pada musim cuti sekolah ini supaya kemalangan dapat dielakkan,” ujarnya.