KUANTAN: Seorang lelaki warga emas ditemukan maut selepas dipercayai terperangkap di bahagian ruang tamu dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Kuala Dong, Raub, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.56 malam semalam dan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan anggaran kemusnahan 80 peratus.
“Dalam kejadian tersebut, seorang warga emas lelaki terperangkap di ruang tamu rumah manakala seorang lagi warga emas wanita berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai maut akibat melecur terkena haba panas.
Mohd Razam berkata, pihaknya telah menjalankan tindakan pemadaman dan operasi tamat pada 2.13 pagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan‑badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal menerusi hantaran di Facebook turut menzahirkan ucapan takziah buat seluruh keluarga mangsa.
“Sedih apabila dimaklumkan seorang warga emas Allahyarham Abd Hamid Jaafar, 80, telah meninggal dunia dan ditemukan di dalam rumah yang terbakar. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga keluarga diberikan kesabaran serta kekuatan untuk menghadapi ujian yang berat ini,” katanya.
-- BERNAMA